IPOH: Polis mengesahkan kenyataan menyentuh sensitiviti perkauman yang tular di media sosial adalah kes lama yang disebarkan semula.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan kes itu pernah diterima pada 12 Ogos 2019 di Balai Polis Lahat di mana individu yang bertanggungjawab ke atas kenyataan itu telah pun didakwa di mahkamah.

“Polis mengesan satu isu tular melalui akaun Facebook dengan memetik kenyataan yang menyentuh sensitiviti perkauman oleh seorang pengguna bernama Nazrul Nazari.

“Semakan mendapati kes itu telah pun selesai. Individu bertanggungjawab telah dituduh dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, individu itu telah pun dikenakan hukuman denda RM1,000 dan RM5,000 dan tiga hari penjara masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Ipoh.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita kitar semula yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan isu-isu sensitif sehingga mendatangkan khianat awam,” katanya. – UTUSAN

The post Kenyataan perkauman, polis sahkan kes lama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *