IPOH: Kenyataan aktor dan pengarah, Zul Huzaimy yang mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu program anjuran Pas di Terengganu baru-baru ini, tidak mewakili pendirian Pas. 

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kenyataan berkenaan tidak boleh dilihat mewakili parti kerana individu itu bukan kalangan pimpinan mahupun ahli.

“Dia bukan pemimpin dan bukan ahli Pas pun, saya tahu dia bukan ahli. Kalau dia mahu sabotaj kita dengan pergi program kita dan cakap macam itu, lepas itu salahkan Pas, tak boleh.

“Saya sendiri tidak berani cakap macam itu bagi pihak Pas. Bercakap bagi pihak parti hanyalah Presiden dan Setiausaha Agung. Saya cakap dalam bidang saya sahaja iaitu pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Tambun di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat pelakon berkaliber itu dilihat berbahaya dan memberi persepsi tidak baik kepada pemerintahan Pas.

“Di Kelantan, Pas telah memerintah selama 32 tahun. Tiada apa yang terjadi, malah semua orang hidup dengan aman damai.

“Jangan kata paksa orang masuk Islam, bersunat pun kita tidak paksa. 32 tahun kita perintah, kita ada bukti itu (pentadbiran baik), jadi jangan takut,” katanya.

Sementara itu, Zul Huzaimy menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Instagramnya memohon maaf di atas ucapannya yang disalah anggap hingga mencetuskan perbalahan warga maya.

Katanya, video tular itu perlu ditonton secara penuh bagi memahami maksud sebenar kenyataannya pada program berkenaan.

“Saya bukanlah seorang yang terlalu ekstrem untuk suka bergaduh dengan orang. Saya pun bersahabat dengan kaum India, Singh dan Cina, malah arwah ibu saudara saya juga kaum Cina.

“Yang saya maksudkan apabila ada sesetengah pihak yang memanaskan keadaan dengan membenci Islam, agama rasmi negara. Itu maksud saya,” katanya.

Terdahulu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu tular di media sosial sejak semalam apabila pelakon filem Remp-it itu mahu menyembelih orang kafir harbi. – UTUSAN

The post Kenyataan Zul Huzaimy bukan wakili Pas – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *