PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan dua pengundi untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mencabar tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri membubarkan  Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nallini Pathmanathan dan bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak responden.

Ketika membaca penghakiman sebulat suara itu, Hakim Nallini menyatakan tindakan undang-undang tersebut telah menjadi akademik kerana PRU15 telah selesai dan telah wujud kerajaan baharu.

“Persoalan undang-undang yang dicadangkan juga telah menjadi akademik dan keperluan (untuk kebenaran merayu) mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman juga tidak dipenuhi.

“Selain itu, Mahkamah tidak boleh membuat keputusan tanpa menjejaskan keputusan PRU15 kerana ia adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.

“Atas alasan-alasan ini, Mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain membenarkan bantahan awal dan menolak permohonan pemohon. Tiada sebarang perintah mengenai kos,” kata Hakim Nallini.

Pada prosiding hari ini, pengundi Pandan yang juga seorang peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar dan bekas Ahli Oarlimen Klang, Cahrles Anthony Santiago selaku pemohon diwakili peguam-peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk Malik Imtiaz Sarwar.

Ismail, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, Low Wen Zhen, dan Liew Horng Bin.

Turut hadir ialah peguam-peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin bagi pihak responden.

Syed Iskandar dan Santiago masing-masing memfailkan saman pemula mereka secara berasingan bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Ismail selaku Perdana Menteri ketika itu kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, yang memberi laluan kepada SPR mengadakan PRU15.

Bagaimanapun, pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan saman tersebut mereka atas alasan permohonan tersebut adalah remeh dan menyusahkan kerana pembubaran Parlimen yang diperkenan oleh YDPA adalah sesuatu yang tidak boleh dicabar atau dipertikaikan.

Mahkamah Rayuan pada November 2022 mengekalkan keputusan tersebut.

Menurut saman pemula yang difailkan, Santiago antara lain memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat kabinet.

Syed Iskandar pula memohon untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum. – UTUSAN

 

The post Keputusan bubar Parlimen tidak boleh dicabar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *