PETALING JAYA: Keputusan yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam membuktikan rakyat di negara ini bijak membuat pilihan selain tidak berlaku kekecohan.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, ini adalah petanda baik bahawa disebalik ketidaktentuan politik, negara ini kekal aman makmur dan rakyatnya berbilang kaum dan agama, komited mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian.

“Syabas kepada semua rakyat negara berdaulat ini serta terima kasih kepada jentera pentadbiran kerajaan yang menggalas amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

“Kini kita semua menunggu apakah bentuk kerajaan yang akan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda selaku pemerintah bagi membantu mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pengundi mencetuskan beberapa kejutan antaranya di Semenanjung, Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini dilihat sebagai ‘underdog’ mencipta kejutan dan mengambil alih peranan sebagai polar politik baharu, menguasai blok politik luar bandar menggantikan Barisan Nasional (BN). 

“Pakatan Harapan (PH), sebagai pola politik yang selama ini adalah seteru kepada BN, menerima tamparan hebat. Popularitinya menurun kerana prestasi PKR yang gagal meyakinkan pengundi bahawa PH yang diterajuinya adalah opsyen terbaik untuk dipilih.

“Tatkala PN dan BN berseteru sesama mereka, niatnya untuk menumpaskan BN, tanpa disedari, ia hampir tewas kepada PN. Terdapat beberapa konstituensi di bandar yang mula jauhi PH kerana DAP dilihat terlalu ekstrem.

“Di samping itu, di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan gabungan tiga parti utama, diterima dan diperakui pengundi mampu mengembalikan dominasinya apabila rakyat Sarawak melihat gagasan ini lebih stabil dan memaparkan halatuju pembangunan negeri dengan lebih adil dan saksama. 

“Di Sabah pula, Gerakan Rakyat Sabah (GRS) mula menunjukkan tanda positif untuk menerajui gagasan beberapa parti politik tempatan, ini sekaligus memaksa UMNO pertimbangkan hasratnya untuk mendominasi politik di negeri ini,” ujarnya. 

Hasan Mad berkata, kini terserah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk berunding dengan dua gagasan utama iaitu PN dan PH untuk salah satu darinya memiliki sokongan  majoriti dikalangan 222 Wakil Rakyat bagi membentuk kerajaan yang stabil dan membantu Baginda mentadbir negara berdaulat ini. 

Katanya, kelebihan ada pada PN yang pernah mentadbir negara dan dilihat lebih mesra dengan tiga gagasan yang serasi untuk bersekutu dengannya membentuk kerajaan campuran. Kepadanya kami sandarkan harapan agar sengketa politik reda dan negara kembali ke landasan kemakmuran yang lebih stabil dan lestari. –UTUSAN

The post Keputusan PRU15 tanda pengundi matang, bijak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *