PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus adalah tepat dan mengambil kira keadaan sebenar di akar umbi pasaran, kata Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, pihaknya dapat melihat tekanan kos input sudah semakin lega ketika ini.

Ujarnya, dengan pembukaan sempadan di China serta peningkatan jumlah pengeluaran, kos input akan terus menyederhana dan ini seterusnya diharap dapat membantu meringankan kos barangan kepada pengguna sekali gus mengawal kadar inflasi.

“Sepatutnya, semasa perniagaan termasuk perusahan kecil dan sederhana (PKS) di dalam mod pemulihan pasca pandemik, OPR harus dikekalkan ataupun diturunkan untuk menggalakkan perniagaan berkembang serta menaik tarafkan operasi mereka dan bukan sebaliknya. 

“Oleh itu, kami berharap kadar OPR dapat dikekalkan pada tahap sekarang, melainkan kita lihat ada risiko daripada dasar monetari di antara rakan dagang negara yang lain,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus berikutan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ia sekali gus menamatkan kenaikan berturut-turut sebanyak empat kali tahun lalu daripada paras rekod terendah pada 1.75 peratus sebelum ini.

BNM berkata, langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada tahap semasa.

“Kadar OPR yang kekal tersebut akan meningkatkan keyakinan pengguna dalam pasaran dan kos pinjaman juga tidak akan meningkat.

“Oleh itu, ini adalah satu berita gembira kepada kami dan ramai pihak terutamanya rakyat negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post Keputusan tepat kekalkan OPR, ambil kira keadaan sebenar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *