SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN hasil dapatan oleh tiga pusat penyelidikan iaitu Ilham Center, Huayan Policy Institute dan 02 Research Center dari 19 September hingga 9 Oktober lalu, terdapat dua isu membimbangkan rakyat iaitu nilai ringgit yang susut dan hutang negara tinggi.

Sebanyak 41 peratus daripada 5,080 responden terdiri daripada pengundi Melayu dan Cina mengenal pasti dua masalah sama itu sebagai isu yang membimbangkan mereka.

Setakat Jun lalu, hutang negara berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Antara langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pertama, menyusun semula perbelanjaan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada pemotongan perbelanjaan yang tidak produktif seperti subsidi dan pengawalan gaji awam.

Pada masa sama, perbelanjaan yang bersifat produktif seperti kesihatan dan pendidikan diberi keutamaan. Kedua, menjana pendapatan daripada sumber-sumber baharu seperti memperkemaskan sistem percukaian dan melebarkan asas cukai nilai tambah seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Walaupun menerima reaksi negatif, GST lebih e­fisien bagi menjana hasil berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana asas cukainya yang lebar dan dapat mengurangkan keciciran.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyarankan negara-negara membangun menyasarkan nisbah cukai KDNK sebanyak 15 peratus.

Bank Dunia menganggarkan nisbah jumlah hasil kerajaan daripada KDNK hanya sekitar 14.3 peratus sahaja pada 2022 (berdasarkan unjuran KDNK sebanyak 5.8 peratus).

Cukai

Walaupun kerajaan tidak berniat memperkenalkan cukai baharu seperti cukai nilai tambah kerana ia mungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, keadaan ekonomi semasa mungkin memaksa kerajaan memikir semula pendirian ini untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Ketiga, menambahkan penawaran wang. Kaedah ini tidak digalakkan kerana ada batasannya. Ahli-ahli ekonomi berpendapat, kaedah ini yang mana ia boleh menyokong tahap kecairan ekonomi yang menggalakkan pemulihan ekonomi tetap dibatasi oleh inflasi.

Keempat, reformasi sistem subsidi dengan menyemak semula subsidi harga minyak dan subsidi lain yang memberi manfaat kepada semua penduduk tanpa mengira tingkat pendapatan.

Subsidi yang turut memberi manfaat penduduk berpendapatan tinggi adalah tidak cekap dan membazir sumber. Kelima, menggalakkan tabungan. Kekuatan ruang­ fiskal juga boleh dikembalikan dengan meningkatkan tabungan negara yang telah jatuh.

Seperti dilaporkan oleh media tempatan, tabungan swasta telah jatuh akibat pandemik Covid-19 dan keadaan itu tidak menjamin keselesaan pada waktu persaraan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank-bank perdagangan perlu digalakkan mempelbagaikan penawaran produk tabungan mereka.

Keenam, terus melaksanakan program penswastaan seperti dibuat pada 1983. Langkah ini dapat mengecilkan saiz kerajaan dan mengurangkan campur tangan pemerintah dalam ekonomi.

Program penswastaan ini terganggu oleh krisis kewangan Asia 1998-2000. Program ini, jika berjaya, boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan meninggikan ekuiti pegangan bumiputera.

Program ini juga boleh mengurangkan rungutan bahawa saiz kerajaan yang tidak seimbang berbanding jumlah penduduk Malaysia. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi

The post Kerajaan baharu nanti perlu susun semula belanja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *