MELAKA: Menangani kenaikan harga barang, kebajikan mahasiswa dan kestabilan politik merupakan harapan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan baharu yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seorang pelajar, Farah Nur Irdina Muhammad Dzulkifli, 21, berkata, dia mahukan sebuah kerajaan yang cakna dengan isu rakyat marhaen terutamanya melibatkan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal.

Menurutnya, dia terpaksa melakukan kerja sampingan seperti berniaga dalam talian bagi menampung perbelanjaan harian.

FARAH NUR IRDINA MUHAMMAD DZULKIFLI

“Wang pinjaman pendidikan memang ada, tetapi kenaikan harga barang yang mendadak menyebabkan para pelajar yang tinggal di rumah sewa seperti saya terpaksa berjimat-cermat dan ikat perut.

“Saya berharap pemimpin yang dipilih selepas ini serius menangani perkara ini kerana sangat memberi kesan kepada rakyat khususnya pelajar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nurul Ezany Che Omar, 21, berkata, dia yang teruja untuk mengundi kali pertama pada 19 November ini akan memilih pemimpin yang dapat menjaga kebajikan mahasiswa.

Jelasnya, selain terkesan kos sara hidup yang tinggi, para pelajar juga terbeban dengan harga buku rujukan yang mencecah sehingga ratusan ringgit sebuah.

NURUL EZANY CHE OMAR

“Saya berharap kerajaan akan laksanakan semula baucar buku yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu. Sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban pelajar untuk mendapatkan buku rujukan,” katanya.

Bagi Nor Azmi Abdul Majid, 53, dia mengharapkan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dengan pelbagai dasar yang kukuh supaya dapat menangani permasalahan rakyat dengan lebih meyakinkan.

Menurutnya, calon yang bertanding harus mengambil iktibar PRU14 apabila menabur pelbagai janji yang sukar untuk ditepati.

NOR AZMI ABDUL MAJID

“Saya tidak mahu selepas PRU15 masih ada pihak-pihak yang bertelagah kerana berebut kuasa. Hentikan berpolitik dan tumpu masalah rakyat.

“Rangka polisi yang dapat menaikkan semula ekonomi negara dan beri pelbagai insentif untuk memacu kuasa beli rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

The post Kerajaan baharu perlu bijak tangani isu ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *