PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menggubal dan melaksanakan dasar baharu yang dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam dan luar negara.

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kepemimpinan Anwar diharap dapat membawa nafas baharu dan mengembalikan keyakinan para pelabur, seterusnya memacu  pertumbuhan ekonomi.

Ujarnya, dasar baharu ini amat penting untuk menarik pelabur-pelabur yang membawa teknologi baharu supaya Malaysia dapat bersaing dengan lebih baik di pasaran antarabangsa.

“Kebanyakan majikan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan bantuan kerajaan untuk memodenkan operasi mereka terutamanya bagi melaksanakan automasi dan pendigitalan.

“Ini supaya mereka dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh. Pemodenan operasi akan dapat memastikan syarikat lebih berdaya saing dan mampan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Syed Hussain memberitahu, kerajaan baharu juga perlu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja terutamanya tenaga buruh asing yang kritikal ketika ini. 

“Polisi baharu hendaklah diperkenalkan bagi memudahkan pengambilan pekerja asing dan tidak mengekang kemasukan mereka.

“Banyak kesukaran dan kerugian dialami oleh majikan pada masa ini akibat daripada kekurangan tenaga kerja terutamanya buruh asing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemimpin baharu itu menyemak semula kadar cukai korporat dan kadar cukai individu serta menjadikannya lebih kompetitif terutamanya bila dibandingkan dengan negara negara di rantau ASEAN.

“Malaysia perlu dengan segera meningkatkan peratusan pekerja mahir yang pada ketika ini adalah kurang daripada 30 peratus. Di negara-negara maju, kadar peratusan pekerja mahir adalah lebih daripada 50 peratus. 

“Peratusan pekerja mahir yang tinggi adalah penting untuk menyakinkan para pelabur bahawa Malaysia mempunyai  tenaga pekerja berbakat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan para pelabur,” jelasnya. – UTUSAN

The post Kerajaan baharu perlu gubal dasar tarik pelabur, atasi kekurang buruh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *