MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membatalkan lesen 34 syarikat jualan langsung dengan nilai rampasan sebanyak RM4.2 juta, membabitkan 26 kes bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat jualan langsung terlibat  melanggar garis panduan, peraturan dan syarat lesen yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius pelanggaran dan ketidakpatuhan di bawah peruntukan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (Akta 500).

“Selain dibatalkan lesen, sebanyak RM71,000 kompaun dikenakan dan denda pula berjumlah RM148,000.

“KPDNHEP memandang serius terhadap aduan-aduan diterima melibatkan pelanggaran dan ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dan peraturan di bawah Akta 500.

“Kementerian di bawah bahagian penguatkuasaan tidak berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang tersebut serta tidak teragak-agak membatalkan lesen jualan langsung syarikat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia peringkat negeri di Mahkota Parade, Banda Hilir di sini semalam.

Dalam pada itu, Alexander menambah, masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap industri jualan langsung yang bukan mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya.

Beliau berkata, industri tersebut terbukti mampu menjadi sumber pendapatan melalui syarikat jualan langsung berlesen.

Menurutnya, nilai industri berkenaan bagi 2020 adalah berjumlah RM25.7 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 43.6 peratus dari 2019 dengan jualan dicatatkan ialah RM21.5 bilion.

Jelasnya lagi, Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2021 terbitan Persekutuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA) menunjukkan kedudukan Malaysia berada di tangga keenam peringkat global dan keempat di Asia Pasifik.

“Industri jualan langsung ini berperanan besar membantu dalam merancakkan ekonomi di seluruh negara.

“KPDNHEP sangat menggalakkan minat dalam kalangan rakyat untuk menceburi bidang ini kerana potensi dan nilai jualan langsung menunjukkan, ia sangat menguntungkan apabila diceburi sebagai satu perniagaan yang boleh diharapkan,” ujarnya. –UTUSAN

The post Kerajaan batal lesen 34 syarikat jualan langsung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *