JOHOR BAHRU: Kedudukan Sabah dan Sarawak yang diangkat menjadi wilayah dan tidak lagi berstatus negeri membuktikan kerajaan Persekutuan memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi di wilayah ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pertukaran status itu diharap dapat membuka lembaran baharu dan mempercepatkan usaha Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin berhubung hal-hal MA63 dan mengadakan perbincangan mengenainya dari semasa ke semasa.

“Pengumuman ini (Sabah dan Sarawak berstatus wilayah) sangat baik dan ada dalam usaha kita untuk memperjuangkan MA63. Kita berharap usaha MA63 dilaksanakan,” katanya ditemui selepas menghadiri Program WAM2Care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope, di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun.

Pada 4 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata, pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun supaya jumlahnya lebih munasabah.

Dalam pada itu, Mohd. Arifin berkata, Sabah telah meluluskan dua usul rang undang-undang berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa lalu.

“Dengan kelulusan itu, kita dapat membangun negeri, misalnya tahun lepas kita dapat lebih RM120 juta dan kesemua ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang telah memberikan peruntukan ini untuk membangunkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di seluruh Sabah. 

“Alhamdulillah, mudah-mudahan tahun ini akan ada lagi sumbangan dan perkara yg dituntut untuk membangunkan Sabah,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan beri tumpuan pembangunan ekonomi di Sabah, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *