KANGAR: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan memberi lebih tumpuan kepada kerajaan negeri Perlis yang ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri lain.

Justeru Anwar berkata, mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan datang bakal diadakan di negeri ini bagi memuktamadkan beberapa projek yang diberi keutamaan dilaksanakan sekali gus membantu merancakkan ekonomi Perlis.

Dalam masa sama, beliau juga meminta kerajaan negeri menggunakan kesempatan pada mesyuarat tersebut agar jentera negeri dan pusat berunding mengenai potensi-potensi projek yang boleh dilaksanakan.

“Perlis akan diberikan keutamaan, Perlis sampai sekarang masih defisit dan bergantung untuk peroleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Dari sudut realiti saya tidak fikir pinjaman yang besar ini boleh dibayar.

“Saya dan rakan agensi pusat lain akan bersama kerajaan negeri fikirkan projek-projek yang boleh datangkan hasil baik dari segi pertanian, pelancongan dan perindustrian yang boleh memberi pulangan kepada negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan lebih 1,200 kakitangan awam di negeri ini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar berkata, hubungan Kerajaan Persekutuan dan negeri boleh dieratkan meskipun berlainan fahaman politik.

Katanya, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada program-program yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri.

“Soal projek akan bincang dan Menteri Besar juga ada menghantar beberapa projek seperti Pelabuhan Sanglang, Perlis Inland Port (PIP) dan projek sekuriti makanan iaitu hal-hal yang akan diberikan tumpuan. Mesyuarat Koridor Utara yang akan diadakan di Perlis itu mungkin diadakan selepas Februari, lepas pembentangan bajet.

Sementara itu, Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk membantu negeri ini semasa pertemuan mereka sebelum ini selain menunaikan janji untuk berkunjung ke negeri ini.

“Bagi sebuah negeri yang keluasannya hanyalah 819 kilometer persegi dengan penduduk seramai 284,000 orang, projek bernilai ratusan juta ringgit sudah boleh dianggap sebagai projek mega.

“Oleh itu kerajaan negeri sangat mengharapkan pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek berimpak tinggi yang dirancangkan,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan jamin beri lebih tumpuan kepada Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *