BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha kerajaan dalam membangunkan e-Sukan dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif termasuk jumlah peruntukan RM13 juta dalam Bajet 2023 untuk sukan tersebut. 

Perdana Menteri berkata, e-Sukan tidak asing lagi dalam kalangan belia dan tanggapan masyarakat juga sudah berubah terhadap aktiviti itu yang kini sudah mampu menjadi kerjaya kepada anak muda.

“Industri e-Sukan dunia juga sedang giat berkembang dan ia dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM7.56 bilion pada 2024,” katanya ketika berucap pada Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, e-Sukan semakin mendapat tempat di negara ini, malah, penyertaan belia dalam sukan ini menunjukkan kecemerlangan dari semasa ke semasa.

“Saya dimaklumkan juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10, Team Haq Esports Club yang menduduki ranking ke empat dunia, juga hadir untuk memeriahkan karnival pada hari ini.

“Pasukan ini juga akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 pada tahun hadapan di Jakarta, Indonesia” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera dapat dijadikan acara tahunan kerana memberikan manfaat besar kepada orang ramai.

Katanya, karnival itu menjadi platform kepada belia khususnya di Bera untuk menerokai peluang pekerjaan dan meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Human Resources Development Corporation (HRDCorp) dan Miat Quadra E-Sport Club di atas kejayaan menganjurkan acara yang menghimpunkan anak muda dari Parlimen Bera dan kawasan sekitarnya.

“Tahniah kepada penganjur kerana mengetengahkan e-sukan yang kini sudah menjadi trend dalam kalangan belia termasuk di daerah Bera,” ujarnya. –UTUSAN

The post Kerajaan komited bangunkan e-Sukan -PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *