KUALA LUMPUR : Pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah dilihat tidak sukar dilakukan, justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan jalan penyelesaian tersebut sebagai langkah terbaik untuk semua pihak.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan dilihat mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri berkenaan.

“Untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar untuk kerajaan perpaduan itu diwujudkan, tetapi soal penerimaan adalah satu aspek yang harus kita santuni terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Media di sini hari ini.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu meminta semua parti berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan saranan Anwar untuk pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah, demi keutamaan rakyat.

Malah, beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan agar tidak perlu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku, sebaliknya meminta semua pihak fokus kepada pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

“Saya yakin rakyat Sabah tidak mahu Pilihan Raya Negeri diadakan, kerana ini bukan hanya memenatkan tetapi dalam masa sama membebankan. Demokrasi bukan hanya dari pilihan raya tetapi daripada kesepakatan antara parti-parti politik,” katanya.

Semalam, Anwar dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan menarik sokongan terhadap Hajiji, Ahmad Zahid berkata: “Ada beberapa perincian perlu dibincangkan dan insya-Allah saya akan berjumpa dengan beliau dalam masa terdekat.”

Jumaat lepas, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini. – UTUSAN

The post Kerajaan perpaduan di Sabah tidak sukar- Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *