KANGAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan projek-projek pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu di Perlis demi manfaat rakyat di negeri ini.

Menteri Besar baharu, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan PN juga tidak akan merancang projek-projek baharu sebelum membuat penelitian sebaiknya terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Katanya, beliau akan bermesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan ketua-ketua jabatan selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada Jumaat ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pentadbiran negeri.

“Mesyuarat ini adalah bagi meneliti secara keseluruhan apa yang perlu diutamakan dan boleh dilaksanakan di negeri ini jika memerlukan apa-apa perubahan seperti yang dinasihatkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Shukri mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis Ke-8 di hadapan Raja Perlis dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Arau.

Mohd Shukri dipilih sebagai Menteri Besar selepas PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memperolehi sebanyak 14 kerusi daripada 15 DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd Shukri yang juga Pengerusi PN negeri berkata, beliau mengakui kepemimpinan kerajaan baharu di Perlis pastinya berdepan sedikit cabaran berikutan kekurangan pengalaman mentadbir.

“Namun saya yakin ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan akan membantu kami untuk membawa negeri Perlis ke peringkat lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Mohd Shukri berkata, komposisi lantikan adalah terdiri daripada tujuh ADUN Pas dan tiga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambahnya, pihaknya juga berharap rakyat di Perlis dapat memberi masa kepada kerajaan PN untuk membawa perubahan di negeri ini untuk manfaat bersama.

“Kita akan fahamkan rakyat bahawa untuk mentadbir negeri ini bukannya sesuatu yang mudah dan ia memerlukan masa,” katanya. – UTUSAN

 

The post Kerajaan PN Perlis teruskan pembangunan kerajaan terdahulu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *