PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan menganjurkan program pembangunan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (IMKS) berorientasikan eksport menerusi program SAY ASPIRE yang dijadualkan bermula Mac sehingga Mei ini.
Exco Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, sebanyak 30 usahawan IMKS di Selangor disasarkan terlibat dalam program tersebut sebagai persediaan sebelum menerokai pasaran global.
“Antara manfaat penyertaan ialah kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).
“Selain itu, usahawan juga berpeluang membuat pembentangan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dan memenangi geran SAY ASPIRE pada pusingan akhir,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Program SAY ASPIRE merupakan kerjasama di antara Exco Pembangunan Usahawan Selangor dan Selangor Youth Community iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Tengku Amir Shah untuk membangunkan usahawan belia di persada antarabangsa.
Program tahunan itu bermula sejak 2018 dan telah melahirkan ramai usahawan berjaya seperti Medics-Pet, PopsMalaya dan Innersejuk.
Antara kriteria ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18-40 tahun, tidak diisytiharkan muflis dan disenarai hitam.
Dalam pada itu Rodziah berkata, Kerajaan Negeri Selangor berharap agar program seperti SAY ASPIRE ini bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan lagi demi memupuk semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan IMKS. di Selangor.
“Kita berharap usahawan negeri ini terus berdaya maju dan kekal berdaya tahan, sekaligus dapat mengharumkan nama Selangor di persada dunia melalui eksport produk buatan tempatan namun setanding kualiti antarabangsa,” katanya.
Untuk mendaftar, syarikat boleh melayari laman web www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire
Permohonan akan ditutup pada esok ini dan syarikat yang terpilih akan dimaklumkan oleh pihak penganjur. – UTUSAN
The post Kerajaan Selangor bangunkan IMKS, cari 30 usahawan appeared first on Utusan Malaysia.