RANTAU PANJANG: Kerajaan akan meneliti isu banjir ‘luar biasa’ yang melanda kawasan ini didakwa oleh penduduk berpunca daripada pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya
akan mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan dibawah seliannya termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta lain-lain dalam minggu ini.

Menurutnya, perbincangan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut sebagaimana kebimbangan penduduk kesan daripada pelaksanaan projek tersebut.

“Saya tidak mahu penduduk kampung menjadi mangsa ketika projek ini dalam pembinaan. Kita perlukan projek ini disiapkan tetapi dalam proses pembinaan ini kita tidak mahu penduduk jadi mangsa.

“Insya-Allah akan ada tindakan segera diambil oleh agensi berkaitan kerana kita tidak mahu banjir yang berlaku sebelum ini akan berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir dan mangsa banjir di Kampung Tersang hari ini.

Nik Nazmi memberitahu, desakan penduduk yang mahu pintu air diperbanyakkan akan dibentangkan.

Utusan Online pada 14 Disember lalu melaporkan, penduduk Kampung Serongga di sini, perit berdepan dengan masalah banjir berulang setiap tahun tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Mereka mendakwa, banjir yang melanda tiga kali di kampung itu sepanjang tahun ini berpunca daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.-UTUSAN

 

The post Kerajaan teliti isu banjir ‘luar biasa’ di Rantau Panjang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *