BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus membela masyarakat Orang Asli apabila memperuntukkan RM305 juta dalam Bajet 2023 merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup dan Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

Perdana Menteri berkata, jumlah diperuntukkan itu berbeza dengan bajet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya RM100 juta untuk Orang Asli ketika mereka mentadbir.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang memanfaatkan lebih 2,100 masyarakat itu antaranya di daerah ini, Kemaman, Terengganu dan Gua Musang, Kelantan.

“Kerajaan  akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 Orang Asli.

“Yayasan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  juga menaja sekurang-kurangnya 10 anak Orang Asli untuk menyambung pelajaran di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mewujudkan tadika di perkampungan Orang Asli dan sekolah rendah berdekatan penempatan mereka sehingga isu keciciran sekolah hampir tiada.

Tambah beliau, kerajaan menyediakan skim galakan pendidikan pelajar Orang Asli di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Perdana Menteri mengumumkan pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama menerima kadar bantuan dari RM9,560 hingga RM11,200 setahun.

“Di peringkat diploma, kadar bantuan ialah RM8,160 hingga RM8,360 setahun, bagi peringkat sijil dan pra-diploma pula pelajar menerima RM3,500; matrikulasi dan asasi RM3,000 setahun juga bantuan keperluan asas ke maktab perguruan RM390 setahun.

“Bagi pendidikan pelajar sekolah kerajaan memperuntukkan tambang pengangkutan, wang saku pelajar sekolah menengah, bekalan catuan makanan pagi untuk murid di pedalaman, keperluan penjagaan diri di asrama dan yuran bagi pelajar tak menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) serta pakaian seragam sekolah untuk murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 216 tanah Orang Asli sudah diwartakan setakat ini yang mana  427 lagi dalam permohonan dan 117 lagi belum mengemukakan permohonan. 

“Kerajaan memberi bantuan berupa peralatan dan bahan input pertanian kepada golongan miskin/miskin tegar Orang Asli menerusi Program Peningkatan Pendapatan kepada golongan Miskin Tegar bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan.

“Projek Tanam Semula Komersial (TSK) bagi membangunkan tanah masyarakat Orang Asli dengan tanaman kelapa sawit dan getah secara komersial serta memberi pulangan hasil kepada peserta-peserta projek,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan terus bela Orang Asli – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *