KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai inisiatif menangani jenayah penipuan siber dengan lebih efektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, NSRC adalah gabungan pelbagai sumber dan kepakaran.

Antara agensi terlibat adalah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi-institusi perbankan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

Menurut beliau, agensi tersebut akan bertindak sebagai penerima laporan daripada mangsa penipuan siber supaya tindakan segera dapat diambil seperti menyekat pengaliran dana dan tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku.

“Bagi membolehkan pihak NSRC mengambil tindakan yang berkesan khususnya untuk menyekat pengaliran dan pelupusan wang mangsa, mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber.

“Mangsa juga boleh menghubungi di talian NSRC iaitu 997 yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan,” katanya di dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan menubuhkan NSRC semasa pembentangan Bajet 2023.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menggesa mangsa penipuan siber untuk memberikan maklumat penuh berkaitan insiden jenayah tersebut semasa menghubungi pihak bank atau NSRC supaya tindakan efisien dapat diambil.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan diragui.

“Pihak NSRC, agensi-agensi berkaitan di bawah NSRC atau bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor PIN, TAC, OTP atau kata laluan.

“Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan sewajarnya bagi mengesahkan keabsahan fakta-fakta jika dihubungi oleh pihak yang meminta maklumat berkenaan,” katanya. –UTUSAN

 

 

The post Kerajaan tubuhkan NSRC, perangi penipuan dalam talian appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *