SEPANG: Puluhan ekor lembu dan kerbau berkeliaran tanpa tuan di sekitar Dengkil mencetuskan kebimbangan kepada penduduk kerana mengundang kemalangan jalan raya.

Ini terutama ketika waktu malam apabila pengguna jalan raya tidak nampak haiwan-haiwan itu sehingga ada kenderaan rosak teruk selepas merempuh haiwan itu.

Seorang penduduk, Azwan Muhammad memberitahu, dia mula menyedari kemunculan gerombolan haiwan itu sejak enam bulan lalu dan bilangannya semakin bertambah sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

“Lembu-lembu ini dibiar tanpa pengawasan dan bebas bergerak di kawasan Dengkil, Kampung Ahmad Razali dan Jenderam yang pastinya mengundang risiko terutamanya kepada pengguna jalan raya.

“Kelmarin (Jumaat) di Jenderam Hilir, kereta seorang penduduk di sini rosak teruk selepas merempuh tiga ekor lembu yang berada di jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Azwan, sehingga hari ini bangkai-bangkai lembu yang mati akibat rempuhan tersebut masih lagi dibiarkan di tepi jalan tanpa dipedulikan sesiapa.

Katanya, kesemua haiwan ternakan tersebut dipercayai bertuan, namun tidak dapat dipastikan pemiliknya dan sehingga kini masih tiada siapa yang ingin mengaku lebih-lebih lagi setelah berlaku kemalangan.

“Sudah beberapa kali penduduk di sini membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun masih tiada tindakan diambil, malah semalam pihak polis turut dihubungi kerana penduduk risau melihat bilangan lembu yang banyak.

“Diharapkan perkara ini mendapat perhatian pihak berkaitan kerana kemunculan lembu-lembu ini tanpa pengawasan meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan yang boleh meragut nyawa,” jelas beliau.

Sementara itu, masalah lembu berkeliaran ini turut dibangkitkan di media sosial dan ada antara mereka menyuarakan pernah terlibat kemalangan apatah lagi ketika waktu malam.

Mereka turut mendakwa kawasan berkenaan tidak ada lampu jalan dan memohon pemilik haiwan ternakan supaya lebih bertanggungjawab sebelum berlaku lebih banyak kemalangan. – UTUSAN

The post Kerbau, lembu ‘kuasai’ jalan di sekitar Dengkil appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *