SAUDARA PENGARANG,

KERETA terbang atau dron besar yang boleh membawa penumpang pernah dicadangkan untuk dibangunkan di negara ini oleh kerajaan terdahulu.

Ketika rakyat tidak pasti bilakah rancangan itu akan menjadi kenyataan, kita tidak boleh lalai dengan fenomena hydroplaning, iaitu kenderaan dipandu berada seperti dalam keadaan terbang atau terapung di atas permukaan air yang nipis ketika hujan.

Akibatnya, pemandu mudah kehilangan kawalan stereng dan brek ke atas kenderaan dipandu. Ini kerana ketidakupayaan tayar kenderaan berfungsi seperti biasa dalam cuaca normal.

Contohnya, dalam keadaan cuaca baik, permukaan tayar kenderaan dipandu mempunyai daya cengkaman dan geseran yang baik dengan permukaan jalan keras.

Haba dihasilkan daripada getaran dan ubah bentuk tayar yang bergerak di atas permukaan jalan akan menghasilkan geseran yang membantu tayar ‘melekat’ pada permukaan jalan.

Keadaan ini berlainan ketika hujan dan permukaan jalan menjadi basah. Ini kerana air akan memenuhi rongga-rongga di atas jalan dan melicinkan permukaannya. Keadaan ini mengurangkan kuasa cengkaman tayar dengan permukaan turapan.

Selain itu, risiko kemalangan ketika hujan juga berkait dengan tindak balas pemandu yang lebih perlahan berbanding ketika keadaan kering.

Hujan menyebabkan penurunan keupayaan persepsi pemandu terhadap jarak penglihatan dan seterusnya meningkatkan jarak membrek serta jarak berhenti.

Sebagai contoh, ketika hendak mengelak objek di atas jalan, pemandu harus tahu bila brek perlu ditekan dan berapa tempoh masa dan jarak yang selamat sama ada untuk menukar lorong atau memberhentikan kenderaan tanpa melanggar objek tersebut atau dilanggar oleh kenderaan di belakang.

Lubang

Air yang bertakung di permukaan jalan boleh memberi bahaya kepada kenderaan. Lubang atau kerosakan di atas permukaan jalan tidak akan kelihatan.

Pemandu yang melanggar lubang ini bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan mereka malah boleh hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan.

Penglihatan pemandu juga boleh terjejas semasa hujan. Pengelap berkemungkinan tidak dapat mengalihkan air dari permukaan cermin kenderaan dengan cepat dan efisien ketika hujan lebat.

Keadaan ini akan menjejaskan penglihatan pemandu dan keadaan bertambah buruk dengan kehadiran pengguna jalan raya lain seperti pejalan kaki, penunggang motosikal atau basikal yang mungkin tidak dapat dilihat.

Sama seperti penglihatan hadapan dan tepi dari cermin sisi kenderaan turut terjejas. Ini jelas membawa bahaya sekiranya pemandu kenderaan tidak berhati-hati ketika memotong kenderaan hadapan.

Selain itu, fungsi lampu hadapan kenderaan juga terjejas semasa hujan kerana air akan menyebabkan cahaya lampu dari arah bertentangan menjadi bertaburan kerana pantulan cahaya yang terjejas.

Ini pasti menjadi kesukaran untuk melihat apa-apa objek di hadapan dengan jelas. Oleh itu, teknik pemanduan yang betul semasa hujan adalah penting untuk mengurangkan risiko kemalangan.

Ini termasuk memandu dengan perlahan, menjarakkan kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan, menyalakan lampu, memastikan tayar dalam keadaan baik dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUNZILAH MD. ROHANI, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

The post Kereta ‘terbang’ boleh ancam nyawa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *