MELAKA: Semangat kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akan direalisasikan di Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini bentuk kerjasama itu belum diputuskan kerana perlu mendapat panduan daripada kepemimpinan tertinggi parti.

Jelas beliau, kerjasama tersebut bagaimanapun tidak sama seperti di Pahang dan Perak memandangkan Melaka telah membentuk kerajaan negeri sebelum PRU15.

AB. RAUF YUSOH

“Selepas PRU15, Kerajaan Persekutuan dibentuk melalui kerjasama beberapa parti. Apabila bentuk kerajaan ini bertukar, kita akan mendapatkan panduan daripada kepemimpinan tertinggi untuk membentuk hubungan kita dengan PH di Melaka.

“Setakat ini saya melihat semangat kerjasama yang wujud dalam Kerajaan Persekutuan boleh dibawa ke negeri ini. Bagaimanapun, bentuk kerjasama ini masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka seharusnya diberikan ruang, platform serta sumber yang setimpal seiring kematangan era politik baharu dan jalinan kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan.

ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, kerjasama politik yang terjalin antara PH dan BN di peringkat Persekutuan adalah dalam bentuk Kabinet bersama.

Menurutnya, bagaimanapun semangat seperti itu mungkin tidak berlaku di Melaka selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menegaskan, komposisi kerajaan negeri kekal seperti sebelum PRU15.

Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari melakukan kunjungan hormat ke atas Sulaiman di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini dan turut disertai beberapa ahli Parlimen dan ADUN PH.

Kunjungan itu merupakan yang pertama antara kedua-dua pimpinan selepas BN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain. – UTUSAN

The post Kerjasama BN-PH Melaka tidak seperti di Pahang, Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *