KOTA BHARU: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi Kerajaan Perpaduan dilihat tidak akan memberikan kesan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam mempertahankan kemenangan di Kelantan, Kedah dan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan berkenaan adalah berlandaskan sokongan yang semakin kuat kepada PN di tiga negeri berkenaan terutama semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Saya tengok sokongan rakyat kepada PN di Kelantan, Kedah dan Terengganu semakin kuat terutama selepas rakyat melihat PH dan BN yang saling menyerang sesama sendiri sebelum PRU15 tiba-tiba bersama dan berkawan baik.

“Kita juga dapat melihat sokongan kepada PN sangat kuat pada PRU15 lalu dan kita yakin dapat mempertahankan kemenangan di tiga negeri berkenaan pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu, faktor utama peningkatan sokongan rakyat kepada PN adalah kestabilan politik dan pencapaian baik di tiga negeri di bawah pentadbiran Pas itu.

“Semua pihak harus akur bahawa pencapaian di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam konteks pelaburan serta perancangan pembangunan berjalan dengan baik dan rakyat boleh melihat dengan jelas perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak melihat keputusan kerajaan negeri Kedah menutup semua premis perjudian akan memberi kelebihan kepada BN dan PH pada PRN itu nanti.

Katanya, hal ini kerana Kelantan juga telah lama mengisytiharkan penutupan premis perjudian dan berdasarkan pengalaman, keputusan itu dapat diterima baik oleh pengundi bukan Islam.

“Walaupun jumlah pengundi bukan Islam mungkin sedikit di Kelantan tetapi ia menunjukkan bahawa keputusan menutup terus premis perjudian diterima secara positif oleh mereka.

“Jadi ia tidak menjadi ukuran kepada sokongan pengundi bukan Islam di Kedah. Kalau mahu mengukur kejayaan dalam pilihanraya, maka PRU15 baru-baru inilah ukurannya,” katanya.-UTUSAN

The post Kerjasama PH-BN tidak gentarkan PN hadapi PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *