KOTA BHARU: Perbincangan dan rundingan secara rasmi melibatkan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dengan Gabungan Tanah Air (GTA) berkait Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih belum berlaku.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perbincangan rasmi hanya dilakukan sekiranya beliau mendapat arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Saya sebagai setiausaha akan menerima arahan kalau diminta untuk membincangkan perkara ini, saya bincanglah. Buat masa ini, belum ada arahan secara rasmi untuk saya bincangkan.

“Bila ada perbincangan rasmi, baru kita beritahu, kalau cerita-cerita kedai kopi sambil minum, itu cerita lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Taklimat Persediaan PRU15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Semalam, GTA memaklumkan, rundingan kerjasama politik dan kerusi PRU15 dengan PN masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.

Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rundingan dengan PN adalah bagi memastikan tiada kerusi bertindih antara calon Pejuang dan PN.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memberitahu, PN mensasarkan kemenangan di semua kerusi di kawasan pengundi majoritinya adalah peneroka Felda.

Katanya, hal ini kerana kawasan Felda bukan lagi menjadi deposit tetap bagi parti Barisan Nasional (BN).

“Pengundi juga sedia maklum segala bayaran hutang Felda membabitkan bilion ringgit diselesaikan ketika pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya harapkan warga Felda di seluruh negara supaya fikir-fikirkanlah dan pilih mereka yang benar-benar prihatin terhadap rakyat. Kita mensasarkan untuk menang di semua kerusi,” ujarnya. –UTUSAN

The post Kerjasama PN-GTA belum ada perbincangan rasmi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *