PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH).

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sebelum ini telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) namun diarahkan mengambil beberapa tindakan lagi.

“Ini termasuk mengambil keterangan wartawan yang merakam ceramah Abdul Hadi di Kuantan, Pahang serta tindakan lain bagi menguatkan keterangan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar semula ke TPR,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Marang itu hadir di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul untuk dirakam percakapan mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang Pas daripada berkuasa.

Ini susulan berhubung laporan yang dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, pada 10 November lalu.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap PH, yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis, anti raja serta anti tuhan dalam ceramah pilihan raya lalu. – UTUSAN

The post Kertas siasatan Presiden Pas sedang dilengkapkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *