KOTA BHARU: Kerusi roda khas yang disumbangkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mengubah kehidupan Amalin Qistina Amlaki, 13, apabila tidak lagi perlu ‘memerah’ keringat kedua-dua belah tangan untuk menggerakkannya.

Amalin Qistina berkata, kerusi roda khas mengikut keperluannya itu memudahkan pergerakan berbanding yang sedia ada sebelum ini.

“Saya mula menggunakan kerusi roda yang berkuasa bateri ini sejak berada di darjah satu. Penggunaanya lebih kerap di sekolah berbanding di rumah.

“Namun, disebabkan oleh tangan yang lemah dan doktor tidak menggalakkan saya melakukan banyak pergerakan,” katanya pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda dan Alatan Mobiliti Murid Berkeperluan Khas Sekolah-sekolah Negeri Kelantan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, di sini, semalam.

Amalin Qistina memberitahu, dia bersyukur dan berterima kasih kepada USM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang memilihnya sebagai salah seorang penerima.

Katanya, dia berharap pelajar orang kurang upaya (OKU) lain tidak mudah putus asa dengan kekurangan diri sebaliknya terus berusaha untuk berjaya pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, pihaknya serius dalam membantu golongan berkeperluan khas ini.

Katanya, pada yang sama USM telah membuka Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kampus Kesihatan dan Kampus Induk.

“Kita turut menyediakan kumpulan khas yang terdiri daripada pakar bagi menguruskan PDK ini. USM bukan setakat memberi bantuan tetapi juga mendidik golongan ini supaya pada masa akan datang mereka dapat berdikari di samping dapat menjana pendapatan bagi menyara kehidupan seharian serta tidak bergantung harap kepada orang sekeliling.

“Program anjuran Pusat Transformasi OKU, Koperasi Cakna OKU Berhad dengan kerjasama JPN Kelantan kali ini berjaya menyerahkan 16 buah kerusi roda dan 15 alatan mobiliti kepada 21 orang murid berkeperluan khas dari 16 buah sekolah seluruh negeri Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN

The post Kerusi roda khas ‘ubah’ hidup Amalin Qistina appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *