KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor bermula 12 Mei tahun depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari bermula Mei hingga September 2023.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mula dibicarakan pada 12 Mei diikuti pada 28 Mei dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan yang turut dihadiri oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah manakala Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn bagi pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini berkata, tarikh perbicaraan bergantung kepada keputusan rayuan Rosmah supaya beliau (Mohamed Zaini) menarik diri daripada mendengar kes itu.

Rayuan itu belum bermula kerana Mahkamah Rayuan pada 22 November lalu mahukan pihak-pihak berhujah terlebih dahulu berhubung isu bidang kuasa dan prinsip undang-undang `res judicata’.

Pengurusan kes rayuan telah ditetapkan pada 23 Disember ini.

Sementara itu, Yih Tinn memberitahu mahkamah, pendakwaan akan memanggil 15 orang saksi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan tersebut.

Dalam prosiding sebelum ini, hakim itu mengingatkan pembelaan supaya memberi keutamaan kepada kes berprofil tinggi itu kerana perbicaraan masih belum bermula walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa iaitu pada 4 Oktober 2018.

Peringatan itu diberikan selepas pihak pembelaan memaklumkan Geethan yang mengetuai pasukan pembelaan mempunyai kes lain untuk dikendalikan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Hakim Mohamed Zaini merupakan hakim sama yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah disabitkan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Sabitan dan hukuman itu yang diputuskan pada 1 September lalu bagaimanapun ditangguhkan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan. –UTUSAN

The post Kes AMLA, cukai: Rosmah dibicara Mei 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *