GEORGE TOWN: Sebuah ladang babi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini, diarahkan tutup selepas kes Demam Babi Afrika (ASF) dikesan di ladang itu.

Pada masa ini, lebih 1,000 ekor babi di ladang itu dimusnahkan dan ditanam di kawasan ladang berkenaan yang dijangka selesai pada akhir minggu ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, situasi itu sedang dalam pemantauan dan diambil perhatian oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

”Keseluruhan ladang telah ditutup dan babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi itu pada masa ini.

“Langkah ini diambil bagi membendung dan mengelakkan daripada merebak ke ladang babi lain,” katanya di sini hari ini.

Pada September tahun lalu, dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak dilanda ASF dan langkah berjaga-jaga telah diambil bagi mengelak ia merebak ke negeri lain.

Sehingga tahun lalu, terdapat 124 ladang babi di Pulau Pinang dengan 267,348 ekor babi direkodkan yang mana 64 ladang berada di daerah Seberang Perai Utara (SPU); Seberang Perai Selatan (52) dan masing-masing empat ladang di Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri telah menasihati penternak babi di negeri itu supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila wabak ASF melanda negeri lain tahun lalu.

“Beberapa langkah seperti menyekat pengeluaran babi rentas negeri telah diambil oleh JPV negeri sejak wabak ASF mula dikesan di negeri lain.

”Bagaimanapun, di sebalik semua langkah berjaga-jaga itu, kes tetap berlaku dan kita telah merekodkan satu kes ASF di SPS,” katanya. – UTUSAN

The post Kes ASF dikesan di ladang babi di SPS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *