ALOR SETAR: Polis akan merujuk kes kematian bayi tiga bulan yang ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul bapanya kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk proses pertuduhan secepat mungkin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, reman suspek yang berusia 28 tahun itu akan berakhir esok setelah dia ditahan pada 9 Oktober lalu.

“Kes ini memang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sepatutnya esok suspek akan tamat reman dan kita akan rujuk kepada TPR seberapa segara. Kalau boleh tuduh, kita akan terus lakukan proses itu.

“Namun, sekiranya belum dibenarkan untuk proses pendakwaan di mahkamah kita akan memohon sambung reman terhadap suspek,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Ketua Polis Kedah bersama Media di sini, hari ini.

Pada minggu lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemukan bayi lelaki terbabit dalam keadaan tidak bernyawa ketika menyerbu rumah suspek di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang di sini.

Ketika serbuan pada pukul 2.50 petang itu, suspek dalam keadaan khayal dan ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine manakala soal siasat awal polis mendapati suspek mengaku memukul bayi berkenaan kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.

Ibu bayi berkenaan yang berusia 22 tahun pula dipercayai terlibat dalam pertelingkahan dengan suaminya sebelum wanita itu bertindak keluar rumah bagi menyelamatkan diri kerana dia turut diugut bunuh oleh suspek selain tidak tahan kerana sering dipukul.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, laporan bedah siasat terhadap bayi terbabit turut menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan objek. – UTUSAN

The post Kes bayi tiga bulan maut dirujuk TPR untuk pendakwaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *