PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 47/2022 iaitu 20 hingga 26 November lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 141 kes atau 8.9 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu tersebut, sejumlah 1,734 kes dilaporkan berbanding 1,593 kes pada ME 46/2022, namun tiada kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi.

Menurut beliau, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini berjumlah 56,304 kes berbanding 23,547 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 32,757 kes (139.1 peratus).

“Manakala sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 54 lokaliti hotspot dilaporkan minggu ini berbanding 61 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 25 lokaliti membabitkan Selangor diikuti 19 lokaliti di Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Perak (dua) dan Sarawak (satu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 18 kes pada minggu ke-47 dengan t11 kes di Pulau Pinang, empat kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,939 sampel darah dan 17 sampel urin telah disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, taman rekreasi dan taman permainan masih berisiko menjadi tempat punca jangkitan demam denggi kerana terdapat sampah serta bekas-bekas terbiar yang dibuang di persekitaran. 

Jelasnya, amalan membuang bekas-bekas terpakai di merata tempat termasuk di tanah lot kosong boleh mengancam kesihatan melalui jangkitan seperti demam denggi dan chikungunya serta menganggu kelestarian alam sekitar. 

Justeru katanya, setiap isi rumah perlu memupuk budaya memelihara kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata sejak dari kecil agar menjadi kebiasaan di usia dewasa. 

“Bagi individu yang melakukan riadah di taman-taman rekreasi, gunakan perlindungan diri seperti memakai repelan pada kulit terutama apabila melakukan riadah pada waktu puncak gigitan nyamuk iaitu di antara pukul 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang. – UTUSAN

The post Kes demam denggi meningkat 1,734 kes  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *