PETALING JAYA: Polis menyiasat kes seorang  penyanyi dangdut popular didakwa bertindak kejam dengan membelasah seorang wanita yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata,  pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan tindakan lanjut sedang dilakukan.

“Saya sahkan mengenai kejadian ini dan kita telah buka kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Zaid, tidak memperincikan sama ada penyanyi tersebut sudah ditahan atau dipanggil untuk diambil keterangan.

Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung seorang wanita sebelum mangsa diheret dan ditendang berkali-kali di muka serta badan.

Kejadian itu dirakam seorang individu yang kemudian  memuat naik di media sosial sehingga tular sejak semalam.

Menerusi video itu juga kelihatan seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu berkenaan.

Sementara itu, individu yang memuat naik video berkenaan berkata, laporan polis sudah dibuat dan mangsa kini mengalami trauma.

“Dia (mangsa) dengan anak akan dikurung di rumah, jika tersilap akan dipukul. Saya yang muat naik video itu.

“Wanita bertudung yang dalam video itu adalah orang gaji yang turut dibantai (pukul) lelaki terbabit,” katanya.- UTUSAN

 

The post Kes penyanyi dangdut didakwa pukul wanita disiasat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *