SELAYANG: Kemelut pertikaian saman penghutang penghakiman melibatkan dua bekas anggota kumpulan Elite, Hana dan Watie dimuktamadkan hari ini apabila kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes secara baik di Mahkamah Sesyen di sini.

Saman penghutang penghakiman yang difailkan oleh Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan terhadap bekas rakan kumpulannya itu sudah berlarutan hampir lapan tahun.

Hana bertindak demikian susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.

Ganti rugi itu dituntut Hana kerana mendakwa Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli sebuah kereta Toyota Wish.

Pada prosiding dalam kamar hari ini, perintah penghakiman persetujuan itu kemudian direkodkan oleh Hakim Nor Rajiah Mat Zin yang dihadiri peguam Mohd. Fikri Abd. Rahman mewakili Hana manakala peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli, mewakili Watie.

Bagaimanapun Hana dan Watie tidak hadir di mahkamah pada prosiding tersebut.

Mohd. Fikri ketika ditemui pemberita berkata, hakim merekodkan penghakiman persetujuan seperti yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Menurut peguam itu, pembayaran yang dipersetujui adalah seperti yang diperintahkan oleh mahkamah pada 25 Oktober 2017, tetapi Watie selaku penghutang penghakiman menangguhkan bayaran beberapa kali berkemungkinan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Saya meminta supaya kes ini tidak dipanjangkan sebab Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan anak guam saya (pemiutang penghakiman) bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh penghutang penghakiman.

“Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, beliau agak beremosi. Perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma dipersetujui.

“Saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh Watie.

“Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Hana mengharapkan Watie membayar (hutang), namun bayaran itu tertangguh. Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam juga berbincang mencari jalan terbaik,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan Hana enggan bertolak ansur lagi dengan Watie yang didakwa masih tidak melunaskan pembayaran ansuran RM2,500 sebulan kepadanya sebagaimana diperintahkan Mahkamah Sesyen.

Hana berkata, sudah lima tahun masa diberikan untuk Watie menyelesaikan tuntutan hutang secara ansuran seperti mana sudah diperintahkan sebelum ini.

Dalam saman penghutang penghakimannya itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap jika Watie gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan kegagalannya membayar hutang itu.

Dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana berkata beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan terbabit pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.

Menurut Hana, selepas memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan beliau (Hana) diisytiharkan muflis pada 1 April 2013. – UTUSAN

The post Kes saman Hana, Watie Elite selesai cara baik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *