SAUDARA PENGARANG,

SAYA sangkakan Naga Emas adalah pasukan hebat dan jaguh bola sepak Asia Tenggara, rupa-rupanya cara mereka mendapatkan kemenangan adalah hasil daripada ‘mencuri’ dan ‘merompak’ dengan mempengaruhi pengadil agar menghukum pasukan lawan.

Tidak bermakna kita tidak boleh menerima kekalahan tetapi bukanlah dengan cara bermain tipu atau main wayang di depan pengadil.

Tidak dinafikan Naga Emas mempunyai beberapa pemain dan penyerang berkualiti berbanding pasukan Harimau Malaya tetapi mengapa harus bermain wayang dalam perlawanan bola sepak? Jika pemain Vietnam dianggap bagus, buat apa perlu rasa takut dan risau berhadapan dengan pasukan underdog seperti Harimau Malaya? Mengapa tidak lawan secara jantan?

Nampaknya jurulatih Park Hang Seo bukanlah seorang yang hebat seperti digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya mengambil kesempatan di sebalik taktik yang diterapkan ke atas anak buahnya di tengah padang supaya bermain drama seperti merebahkan badan, berpura-pura mengerang kesakitan untuk menarik dan mempengaruhi keputusan pengadil. Kebiasaannya boleh dilihat di kotak penalti.

Memandangkan kejohanan tersebut diadakan di luar jendela jadual Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebabkan segala aduan atau protes untuk membantah keputusan pengadil perlawanan mungkin tidak akan dilayan.

Maka jalan penyelesaiannya adalah Harimau Malaya perlu memandang ke depan dan melupakan tindakan pengadil Jepun, Ryuji Sato.

Sekalipun kalah, barisan kejurulatihan Kim Pan Gon tetap dianggap hebat dan terbaik kerana dalam masa singkat berjaya menggilap bakat pemain-pemain skuad kebangsaan sehingga mengundang rasa gerun pada Hang Seo yang memaksa pemainnya bermain menggunakan taktik kotor sekali gus merentap moral dan semangat Harimau Malaya.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

The post Kesal Naga Emas menang cara ‘merompak’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *