PETALING JAYA: “Sarah tak bahagia tak apa, Sarah boleh sembuh sendiri. Tapi, jangan mama dan papa tidak bahagia”.

Demikian luahan Puteri Sarah Liyana dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi Instagram Story selepas melihat bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata ketika ditemu bual program hiburan popular, Melodi yang disiarkan tengah hari tadi.

Bagi Puteri Sarah, 38, Yusof bukan sekadar bapa mentuanya, sebaliknya sudah dianggap seperti bapanya sendiri dan dia akan sentiasa mendoakan lelaki itu serta isterinya.

Dalam hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengingatkan suaminya, Syamsul Yusof tentang kifarah atas perbuatannya melukakan hati kedua-dua orang tuanya.

“Bukan sekali dua, papa menangis disebabkan awak. Berkali-kali. Tergamaknya awak.

“Jangan jadi anak derhaka, malah awak juga buat ibu awak menangis. Ketawalah belah sana, ketawalah. Kifarah itu ada,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Puteri Sarah turut memaklumkan, dia bakal berangkat mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada 26 Januari ini.

“Sarah akan doakan kebahagiaan mama dan papa. Sarah tak bahagia tak apa, Sara boleh sembuh sendiri). Tapi, jangan mama dan papa tak bahagia,”tulisnya.

Syamsul pada Jumaat lalu, menerusi video yang dimuat naik di Instagram membuat pengumuman dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan hatinya, Ira Kazar di Thailand.

Majlis akad nikah pasangan itu diwalikan sendiri bapa Ira iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga pasangan tersebut hangat diperkatakan selepas Puteri Sarah membuat pendedahan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ira berikutan dakwaan gangguan rumah tangga oleh ‘orang ketiga’.

The post Ketawalah belah sana, kifarah itu ada – Puteri Sarah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *