KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen baharu Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mengakui ketiadaan Tan Sri Noh Omar sebagai calon memberi kelebihan dan faktor kemenangan di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berkata, pertembungan dengan Pengerusi BN Selangor itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak memihak kepada dirinya apabila tewas dengan majoriti 1,970 undi.

“Namun, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini tidak ditandingi Noh sekali gus satu kelebihan besar kepada saya.

“Berbekalkan semangat perjuangan dan dikenali rakyat setempat, kemenangan berpihak kepada saya untuk menabur bakti terbaik di Parlimen ini,” katanya ketika ditemui di sekitar Tanjong Karang di sini, hari ini.

Semalam, Zulkafperi Hanapi menawan kerusi itu dengan kemenangan majoriti 2,180 undi dengan menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd. Yusof (15,874) dan Siti Rahayu Baharin dari Pakatan Harapan (PH) (12,314).

Turut tewas, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Azlan Sani Zawawi atau Lando yang memperoleh 3,557 undi manakala calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol dengan 1,406 undi.

Jelas Zulkafperi, dia pada awalnya diatur untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

“Namun, saya diminta oleh kepimpinan tertinggi parti pada saat akhir untuk kekal bersaing di Tanjong Karang.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar termasuk proses kempen yang disokong padu jentera Pas Tanjong Karang,” ujarnya.

Tambah beliau, prinsipnya kini mahu berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat terutama memperkasakan lagi sektor pertanian di parlimen tersebut.

“Selain itu, saya mahu membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan infrastruktur sedia ada.

“Saya tidak mahu Tanjong Karang dilabelkan pekan ‘koboi’ sedangkan banyak potensi pembangunan boleh dilaksanakan terutama menjadi hab pertanian dan sawah padi di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Habibah berkata, beliau menerima keputusan rakyat dan sudah melakukan sebaik mungkin sepanjang tempoh berkempen.

“Saya turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya ada melakukan kesilapan sebelum ini,” katanya.

Untuk rekod, Noh mempertahankan kerusi P095 itu selama enam penggal sejak 1995 melalui PRU9 hingga PRU14. –UTUSAN

The post Ketiadaan Noh beri kemenangan kepada saya -Zulkafperi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *