TEMERLOH: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lumpuh apabila ketua dan 14 ahli jawatankuasa (AJK) yang dipilih pada pemilihan 2020 meletak jawatan berkuat kuasa 30 September lalu.

Turut meletak jawatan Naib Ketua Srikandi Bahagian Temerloh, Suriati Dahari, empat ketua Srikandi cawangan dan empat AJK Bahagian.

Notis penerimaan perletakan jawatan diterima pada 11 Oktober lalu yang dihantar kepada Setiausaha Bersatu Bahagian Temerloh, Syed Omar Syed Abdulaziz.

Bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Temerloh, Siti Aisyah Ismail berkata, susulan perletakan jawatan itu, mereka ditohmah dan dituduh dibayar untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau menafikan  dan memberitahu mereka meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh yang didakwa mengamalkan kronomisme dan pilih bulu terutama dalam soal penyaluran bantuan kepada ahli.

Beliau berkata, daerah ini banyak berlaku bencana seperti banjir dan ribut, namun disebabkan `kebocoran, yang berlaku, sumbangan yang sepatutnya untuk ahli tidak sampai.

“Keputusan ini (letak jawatan) dibuat setelah setahun kami cuba mencari titik persamaan dengan kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh.

“Saya ada berbincang dengan Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Mohd. Yusoff Abdullah termasuk Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, namun kami (Srikandi Temerloh) masih diabaikan. 

“Bila saya dinafikan hak untuk jaga ahli dan saya rasa khidmat saya tidak diperlukan. Daripada duduk, tidur lebih baik kami meletak jawatan,” katanya dalam sidang akhbar di Mentakab di sini hari ini.

Siti Aisyah berkata, kesemua mereka hanya meletak jawatan dalam kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh dan masih kekal sebagai ahli biasa parti tersebut. 

“Buat masa ini kami kekal ahli Bersatu dan tindakan seterusnya akan lihat perkembangan semasa,” katanya. – UTUSAN

 

The post Ketua, 14 AJK Srikandi Bersatu Temerloh letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *