PETALING JAYA : Seorang ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah dan menyalahguna kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat buah kenderaan pada 2017.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Satu sumber mendedahkan, perolehan empat buah kenderaan yang dibuat pada 2017 itu berjumlah lebih RM290,000 bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.

“Susulan itu, suspek kini telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober ini setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

 

The post Ketua jabatan bergelar Datuk ditahan terima rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *