MAKASSAR: Puluhan ketua kampung di wilayah Gowa di Sulawesi Selatan mengembalikan semula wang suapan yang diterima menerusi pembelian lori sampah di kampung mereka.
Lapor CNN Indonesia, wang yang dikatakan sebagai ganjaran itu dibuktikan hasil daripada perbuatan jenayah rasuah.
Ketua Pendakwa Raya Gowa, Yeni Adriani berkata, seramai 29 ketua kampung memulangkan semula dana itu selepas terdapat dakwaan pemberian ganjaran dalam menyediakan lori sampah di 121 kampung di wilayah tersebut.
Jelas beliau, setiap ketua kampung menerima 20 juta rupiah (RM5,806) manakala jumlah yang dikembalikan kini berjumlah 580 juta rupiah (RM168,405).
Yeni berkata, masih terdapat 92 lagi ketua kampung yang tidak memulangkan dana tersebut kepada Pejabat Peguam Negara Gowa.
Dalam kes dakwaan rasuah perolehan lori sampah, pihak pendakwa telah menamakan lima suspek dengan jumlah kerugian negara sebanyak 9 bilion rupiah (RM2.6 juta).
Ketua Kampung Erelembang, Putra Ayarif mengakui menerima wang itu daripada suspek yang merupakan pembekal lori sampah berkenaan.
“Duit itu kami terima setelah mendapat panggilan telefon daripada suspek dan diberikan di tepi jalan sebagai tanda terima kasih. Tetapi saya sudah pulangkan wang itu yang berjumlah 29 juta rupiah (RM8,409),” katanya.
The post Ketua Kampung di Gowa pulang wang suapan beli lori sampah appeared first on Utusan Malaysia.