MARAN: UMNO Bahagian Maran memerlukan perubahan total dan diterajui kepimpinan baharu demi mengembalikan kegemilangan parti itu sekali gus kembali diterima bukan sahaja oleh ahlinya malah rakyat di kawasan tersebut.
Atas faktor itu, ahli UMNO Bahagian Maran, Datuk Khadri Musa membuat keputusan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran pada pemilihan parti tersebut bermula bulan depan.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Maran perlu diberikan nafas baharu untuk berdepan cabaran politik semasa selepas melihat perubahan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.
“Kita lihat dalam PRU15 lalu, ia merupakan pertama kali dalam sejarah UMNO kalah empat kosong di kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO.
“Ia sebenarnya isyarat rakyat yang menuntut UMNO melakukan perubahan dalam parti ini, UMNO perlu perubahan total dan tidak boleh kekal ditakuk lama jika mahu kembali diterima oleh ahli parti dan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu serta menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan. diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung.
Mengulas lanjut, Khadri berkata, Shahaniza seharusnya berjiwa besar tidak mempertahankan jawatan itu bagi membolehkan UMNO Bahagian Maran diterajui kepimpinan baharu.
“Jika ia dilaksanakan, saya rasa Shahaniza akan dihormati dan disanjungi kerana beliau bertanggungjawab dengan apa yang berlaku selepas PRU15 lalu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ia sebaliknya berlaku dan beliau sudah bersiap sedia mencabar Shahaniza bagi memberikan pilihan kepada perwakilan pada pemilihan kali ini.
“Saya tiada masalah berdepan Shahaniza, tentunya saya akan bersaing secara sihat sepanjang tempoh pemilihan ini,” katanya. – UTUSAN
The post Khadri mahu bawa perubahan total dalam UMNO Bahagian Maran appeared first on Utusan Malaysia.