KUALA NERUS: UMNO Bahagian Nerus menolak dakwaan bekas Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus, Apli Yusoff berkata, nama bekas Ahli Parlimen itu tidak pernah dibincangkan sebagai calon BN pada mesyuarat di peringkat bahagian dan perhubungan.

Katanya, beliau menganggap dakwaan tersebut yang tersebar di media sosial baru-baru ini sebagai provokasi bagi tujuan menjejaskan keharmonian dalam kalangan ahli dan pimpinan parti di parlimen ini menjelang PRU15.  

“Kita menafikan dakwaan Dr. Mohd. Khairuddin tersenarai mewakili  BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus seperti diviralkan.

“Kita akui beliau hadir ke beberapa program yang dianjurkan UMNO bersama dengan beberapa pimpinan tertinggi parti, namun tiada kaitan sebagai calon BN,” kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus dan Pelancaran Jentera PRY BN Parlimen Kuala Nerus di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman.

Dr. Mohd. Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Jawatankuasa Pas Pusat mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Pas pada Mac lalu.

Ditanya dakwaan Dr. Mohd. Khairuddin bersama penyokongnya akan menyertai UMNO, Apli berkata, UMNO bahagian ini sedia menerima kehadiran bekas pemimpin Pas itu sekiranya ikhlas ingin berjuang bersama-sama UMNO dan BN.

Pada masa sama, menurutnya, beberapa pimpinan Pas, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen ini turut menyatakan kesediaan menyertai UMNO.

“Bagaimanapun permohonan Dr. Mohd. Khairuddin dan beberapa pemimpin parti lain dalam UMNO akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat dan negeri,” ujarnya.- UTUSAN

The post Khairuddin tidak disenarai calon BN di Kuala Nerus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *