PASIR SALAK: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Salak, Khairul Azman Harun berterima kasih kepada bekas penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang membantu kempen parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun tidak bertanding, Tajuddin membantu dan menyokong perjuangan parti sebagai ahli yang ingin melihat BN terus menang di kerusi Parlimen itu.

Beliau juga berterima kasih kepada Tajuddin kerana memberi laluan dan ruang kepadanya menjadi calon yang dinamakan BN untuk memimpin jentera kempen di kerusi berkenaan.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau, jadi tahap kepercayaan dan keyakinan beliau kepada saya tinggi.

“Saya akan meneruskan legasi kepimpinannya. Banyak usaha dan kerja baik beliau perlu saya selesaikan. Bukan satu perkara yang kekok kerana tiada langsung bantahan dan kekangan yang saya terima. Yang penting sebagai ahli parti tak kira Tajuddin atau di mana-mana bahagian di Pasir Salak mahukan BN menang dengan majoriti lebih besar,” katanya selepas Himpunan Solidariti Kestabilan Demi Kesejahteraan Parlimen Pasir Salak di sini, semalam.

Khairul Azman atau dikenali sebagai Azwanbro berkata, beliau diterima baik oleh penduduk apabila dicalonkan sebagai pengganti kepada Tajuddin kerana rata-rata masyarakat di sini mengenalinya.

Katanya, beliau bukan asing di Pasir Salak kerana karier politiknya di kerusi itu bermula seawal 2001.

“Saya jadi perwakilan cawangan kemudian ketua cawangan, jadi pimpinan bahagian peringkat Pemuda, pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, maknanya lebih 21 tahun.
.
“Apabila saya menggantikan Tajuddin sebagai calon Parlimen, Alhamdulillah penerimaan masyarakat pengundi terhadap saya sangat baik kerana rata-rata mereka mengenali saya,” katanya.

Mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi yang sama, Nik Omar Nik Abdul Aziz, beliau berkata, secara peribadi mengenali anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

“Saya dengan ustaz Nik Omar bersahabat, jadi saya kenal dia dan dia pun kenal saya. Saya dengan calon-calon Parlimen di sini, kami semua berkawan baik jadi kami tiada masalah.

“Kami berkempen secara sihat, tiada serangan peribadi, kita berkempen berkenaan tawaran kita kepada rakyat, saya enjoy lah. Saya mengalu-alukan kedatangan Nik Omar,” katanya.

Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nik Omar, Khairul Azwan, Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang). – UTUSAN

 

 

The post Khairul Azwan berterima kasih kepada Tajuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *