PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Datuk Sudha Devi KR Vasudevan sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel disambung lagi.

Berita gembira tersebut susulan kesemua 56 buah negara anggota Pertubuhan Komanwel sebulat suara menyokong pelantikan semula penyandang itu bagi dua tahun berikutnya.

“Beliau bertugas sekali lagi sebagai pengerusi yayasan berkenaan yang bermula pada 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2024,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan di sini.

Sudha Devi mula menerajui pada 1 Januari 2021 lalu setelah dipilih oleh Mesyuarat Luar Biasa Lembaga Gabenor Yayasan Komanwel di London, Britain pada 28 Oktober 2020.

Keputusan tersebut seterusnya diperakui oleh Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada 7 Disember 2020 yang mengesahkan calon Malaysia itu menerima undian paling banyak.

Diplomat Malaysia itu malah mengatasi tiga calon lain iaitu masing-masing dari Kenya, Cameroon dan Papua New Guinea. Yayasan Komanwel mula ditubuhkan pada 1966 lalu.

Pelantikan Sudha Devi sebagai pengerusi adalah amat bersejarah kerana beliau merupakan wakil Malaysia dan pengerusi pertama dari rantau Asia yang mengetuai yayasan itu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, penyambungan perkhidmatan beliau membuktikan peranan signifikan Malaysia dalam menyokong teguh pihak yayasan lebih 50 tahun lalu.

“Sebagai pengerusi, beliau bertanggungjawab besar dalam mengetuai segala mesyuarat lembaga, mewakili yayasan dan menjadi duta untuk wawasan misi Komanwel,” katanya.

Sebelum ini, Sudha Devi ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Duta Besar Malaysia ke Brazil serta pelbagai jawatan diplomatik di Jerman, Singapura dan Switzerland.

Beliau pernah menjadi Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar, Setiausaha Divisyen Asia Timur dan Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia.

Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menggalakkan penglibatan rakyat dalam dialog awam, saling bertukar pandangan dan bertindak bersama membina masyarakat demokratik.

Organisasi ini juga berperanan untuk memastikan setiap institusi kerajaan dan polisi awam dapat menyumbang kepada pembangunan sejagat melalui pengaruh suara rakyat. – UTUSAN

The post Khidmat Sudha Devi disambung Pengerusi Yayasan Komanwel appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *