SHAH ALAM: Amalan kitar semula menerusi pusatnya di seluruh negeri ini mampu menurunkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah keseluruhan sampah di samping menjimatkan kos pelupusan dan tempat longgokan.

Justeru, untuk meningkatkan peratusan tersebut, setiap individu atau isi rumah di peringkat domestik wajar memulakan amalan pengasingan sampah untuk dikitar semula dan menjadikannya sebagai rutin setiap hari.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, walaupun kaedah itu bukan suatu perkara baharu, namun ia memberi banyak faedah sekiranya diamal secara rutin.

“Di Selangor sahaja, kita mempunyai 250 pusat kitar semula masih aktif beroperasi yang terdiri daripada bangunan berstruktur kekal, kabin dan tong termasuk di Shah Alam terdapat 16 buah.

“Dengan adanya pusat sedemikian ia dapat mengurangkan lima peratus jumlah keseluruhan sampah, menjimat kos pelupusan sampah, mengelak kejadian longgokan sampah dan mendidik masyarakat kepentingan kitar semula,” katanya selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13.

Loy Sian berkata, pihaknya berharap komuniti memainkan peranan dengan sentiasa mengamalkan budaya positif itu dengan menghantar barangan ke pusat kitar semula berhampiran kediaman mereka.

“Untuk menjayakannya, kita memerlukan kerjasama semua termasuk masyarakat. Kerajaan negeri membekalkan tempat dan infrastruktur tetapi menghantar barangan dan pengasingan melibatkan penduduk.

“Pusat kitar semula sedia ada memang tidak mencukupi dan kita sedang dalam usaha untuk memperbanyakkannya terutama di kawasan separuh bandar,” ujarnya. – UTUSAN

The post Kitar semula kurangkan sampah, pelupusan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *