KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, butiran berhubung perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM). 

Perdana Menteri berkata, butiran itu kemudian dibentangkan kepada Kabinet sebagai makluman dan menyerahkan perkara tersebut kepada badan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu serah pada badan penyiasat, SPRM dan lain-lain bukan urusan saya lagi. Yang saya beri itu hanya kenyataan disediakan oleh KKM dan Kabinet mengambil perhatian. Kemudian badan-badan siasatan harus siasat benar tidak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas penafian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan AGC.

Khairy berkata, semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet. 

 Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, malah semua keputusan perolehan dibawa ke Kabinet, oleh itu AGC didedahkan perkara-perkara berkaitan termasuk kos yang terlibat.

Kenyataan Khairy itu susulan pembentangan Kertas Putih oleh KKM berhubung perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan.

Anwar sebelum ini berkata, kertas putih terbabit akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang oleh Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa. – UTUSAN

 

 

The post KKM beri maklumat perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan AGC – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *