BUKIT MERTAJAM: Selepas memiliki sebuah klinik pesakit luar yang terletak di pekarangan Masjid Seberang Jaya di sini, Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) melalui rangkaian Klinik Waqaf An-Nur kini melebarkan sayap mereka di Pulau Pinang dengan mewujudkan sebuah klinik bergerak di sini.

Klinik bergerak kelapan itu direalisasikan susulan pemeteraian perjanjian kerjasama (MoA) antara tiga pihak iaitu WANCorp bersama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Melalui kerjasama itu, ZPP akan menyediakan kemudahan seperti kenderaan yang lengkap diubah suai mengikut keperluan perawatan serta spesifikasi yang mendapat kelulusan beberapa pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), menguruskan kos penyelenggaraan serta perbelanjaan pengurusan operasi selain menyediakan pemandu terlatih.

Sementara itu, KPJ Healthcare melalui Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang bertanggungjawab menyediakan tenaga pakar terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan serta ubat-ubatan yang diperlukan mengikut keperluan semasa.

Menurut Pegawai Pimpinan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad, misi mereka ialah untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang selepas 41 tahun menjadi penyedia perkhidmatan berkenaan.

Katanya, untuk Pulau Pinang, klinik bergerak yang menawarkan rawatan asas itu akan memfokuskan 15 kawasan di seluruh negeri itu secara berperingkat.

“Klinik bergerak ini sebenarnya alternatif kepada klinik yang terdapat di Seberang Jaya, namun memfokuskan kawasan-kawasan yang jauh daripada kemudahan klinik dan hospital.

“Buat permulaan, kita akan cuba ke 15 kawasan ini dan jika ada keperluan nanti, kita akan tambah (kawasan liputan untuk klinik bergerak itu),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran klinik bergerak itu yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Roslan Ahmad di Bandar Perda di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali memberitahu, sebagai permulaan, pihaknya menyediakan peruntukan sehingga RM400,000 bagi tujuan pembelian kenderaan, pengubahsuaian serta reka bentuk yang diperlukan untuk klinik bergerak itu.

Pada masa sama katanya, ZPP akan turut menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM300,000 untuk pengoperasian klinik berkenaan.

“ZPP berbesar hati untuk terus memberi manfaat kepada komuniti setempat dan dapat berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat terutama kumpulan asnaf fakir dan miskin serta keluarga daripada golongan B40 (berpendapatan rendah).

“Setakat ini, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM13.5 juta untuk skim-skim perubatan kepada asnaf di seluruh Pulau Pinang,” tambah beliau. – UTUSAN

The post Klinik bergerak beri peluang lebih ramai asnaf, B40 terima rawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *