MOSCOW: Komander tentera Russia mengakui berdepan tekanan hebat daripada serangan pasukan Ukraine untuk merampas kembali wilayah selatan dan timur, yang didakwa menjadi sebahagian Moscow sejak beberapa minggu lalu.

Sebagai tanda kebimbangan Russia, Ketua wilayah Kherson yang dilantik Kremlin, mengumumkan pelan `pemindahan orang awam secara berperingkat dan tersusun’ dari empat bandar di Sungai Dnipro.

Sergei Surovikin yang memimpin pasukan tentera Russia di Ukraine menggambarkan situasi di kawasan `operasi ketenteraan khas’ sebagai amat tegang.  

Berhubung wilayah Kherson pula, Surovikin menegaskan keadaan di kawasan itu amat sukar.

“Pihak musuh secara sengaja menyerang infrastruktur dan bangunan kediaman di Kherson,” katanya kepada saluran berita Rossiya.

Dilaporkan, pasukan tentera Russia di wilayah Kherson berundur sejauh 20 hingga 30 kilometer (km) sejak beberapa minggu lalu dan berisiko `terkepung’ di tebing barat Sungai Dnipro sepanjang 2,200km yang membahagikan Ukraine.

Dalam pada itu, Surovikin mendakwa pasukan tentera Russia di Kupiansk dan Lyman di timur Ukraine serta kawasan antara Mykolaiv dan Kryvyi Rih di wilayah Kherson diserang secara berterusan.

Beliau juga mengakui wujudnya situasi bahaya yang mana tentera Ukraine mara ke arah bandar Kherson yang terletak berhampiran muara Sungai Dnipro di tebing barat.

Sementara itu, pegawai lantikan Russia di Zaporizhzhia dan selatan Ukraine, Vladimir Rogov mengakui tentera Kyiv memperhebatkan serangan ke atas Enerhodar yang dikuasai Moscow.

Menurut Rogov, serangan artileri terus menyasarkan sekitar kawasan pinggir bandar itu.

Malah, katanya, sebanyak 10 serangan berlaku di sekitar stesen janakuasa tempatan itu.       

Setakat ini, Ukraine dan Russia menafikan dakwaan menyasarkan orang awam walaupun Kyiv menuduh tentera Moscow melakukan jenayah perang. – REUTERS 

The post Komander Russia akui situasi di medan tempur tegang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *