SHAH ALAM: Kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) menyaksikan penguasaan bakat muda mempertaruhkan kreativiti dan keunggulan ciptaan masing-masing untuk merebut gelaran utama.

Antara nama yang menepati ramalan mara ke malam kemuncak AJL37 adalah Ernie Zakri menerusi lagu Korban, selain Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup.

Turut mara adalah lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Efry Arwis dan Shah Shamshiri; Debu nyanyian Amir Masdi dan Dayang Nurfaizah (ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim); Bahagiakan Dia nyanyian Liza Hanim dan Shila Amzah (ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq); Satu Malam Di Temasek nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Sonaone dan Joe Flizzow dan Kembali Terang nyanyian Marsha (ciptaan Senna dan Jin).

Lagu lain yang layak adalah Nang nyanyian Iman Troye (ciptaan Ezra Kong dan A Ramle); Payung Pelangi nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Noki dan MK,
Sengsara nyanyian Khai Bahar (ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat,Omar K), Irama nyanyian Shiha Zikir (ciptaan Iqie Hugh, Firadus Rahmat dan John Jeeves serta Mainan nyanyian Naim Daniel (ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K, Mas Dewangga dan Arisz Ab. Rahman).

Ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, menyifatkan penjurian bagi memilih 12 lagu untuk mara ke AJL37 adalah paling sukar dilakukan sepanjang penglibatannya dalam pertandingan berprestij itu.

“Ini adalah pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) yang paling sukar pada saya kerana kepelbagaian genre 30 lagu yang dipertandingkan.

“Untuk barisan juri mengiktiraf semua penggiat seni, kami tidak boleh memilih satu genre sahaja. Disebabkan itu, kesemua 12 lagu yang layak mewakili pelbagai genre.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat,” katanya pada sidang media selepas selesai SFMM37, petang tadi.

Dalam pada itu, Mokhzani juga memaklumkan penjurian yang dibuat bersifat menyeluruh, merangkumi persembahan secara langsung serta kreativiti lagu dipertandingkan.

“Saya yakin dengan pilihan barisan juri yang melihat, mengkaji dan menganalisa kesemua lagu yang dipertandingkan. Apa yang kita teliti adalah penyampaian dan itu membezakan nyanyian dalam album dengan persembahan secara langsung.

“Kreativiti pencipta dalam menghasilkan lagu duet dan keserasian gabungan penyanyi turut diambil kira.

“Barisan juri melihat secara keseluruhan. Lagu diangkat juga perlu ada ciri antarabangsa. Namun, elemen viral di media sosial tidak mempengaruhi pemarkahan. Apa yang penting bagaimana ia disampaikan di pentas,” jelasnya.

SFMM37 berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini selama dua hari bermula semalam menyaksikan pertembungan 30 lagu merebut tempat ke pentas AJL37.

Sebanyak 18 lagu berentap pada persaingan pertama (semalam) manakala 12 lagi lagu dipersembahkan petang tadi.

Selain Mokhzani, SFMM37 turut menampilkan barisan juri berpengalaman seperti komposer Damien Mikhael, LY, Azlan Abdul Hassan,Jenny Chin dan guruvokal, Cikgu Shafi.

SFMM37 dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam turut diserikan dengan persembahan istimewa Ramlah Ram dan Syura menerusi lagu Hati Kama, selain Farahdhiya dan Elyana mendendangkan lagu Bertakhta Di Hati dan Tak Tercapai Akalmu.

AJL37 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari depan.

The post Komposer muda kuasai pentas AJL 37 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *