PETALING JAYA: Konsert 4 Dekad Slank yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini telah ditunda ke tarikh baru iaitu 25 Disember.

Penganjur, TBRW Global menerusi satu kenyataan memaklumkan, pertukaran tarikh tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selepas berbincang dengan pihak atasan, disebabkan tarikh konsert yang bertindih dengan PRU15, TBRW Global memutuskan untuk menunda Konsert 4 Dekad @slankdotcom ke 25 Disember ini.

“Keputusan ini diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan dan memastikan keselesaan serta keselamatan penonton.

“Kami mewakili semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konsert ini memohon maaf atas segala kesulitan,” maklumnya.

Menerusi konsert dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu, Slank yang dianggotai Kaka selaku vokalis, Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) bakal menghiburkan peminat selama dua jam.

Slank bakal mempersembahkan rangkaian lagu hits mereka sepanjang 40 tahun pembabitan dalam industri seni.

Sementara itu, peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM218 hingga RM418 menerusi https://www.ticket2u.com.my.

The post Konsert Slank ditunda ke 25 Disember appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *