ALOR GAJAH: Hasrat seorang bapa yang juga anggota polis pulang dari tempat kerjanya di Balai Polis Putra Heights, Selangor menuju ke Melaka setelah dimaklumkan bahawa anaknya demam, berakhir tragedi apabila lelaki itu maut dalam kemalangan di Kilometer 217.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Kamarul Arif Mat Noor, 32, berpangkat koperal maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

KAMARUL ARIF MAT NOOR

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, nahas kira-kira pukul 1.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu di lorong tengah telah mengubah haluan ke lorong paling kiri.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150R yang berada di lorong paling kiri telah cuba mengelak ke kanan, tetapi terlanggar lori itu pada bahagian belakang sebelah kanan.

“Akibat pelanggaran, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Difahamkan mangsa baru tamat tugas pukul 12 tengah malam dan pulang ke Kampung Musai, Bukit Baru di sini setelah dimaklumkan anaknya demam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Arshad, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, keadaan jalan adalah lurus, tiga lorong manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan. Kedua-dua kenderaan terlibat dari arah yang sama iaitu dari arah Utara menghala ke Selatan,” jelasnya. – UTUSAN

The post Koperal maut, tak sempat jumpa anak demam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *