SEOUL: Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertamanya sebagai percubaan untuk membuatkan orang ramai berasa lebih selesa dengan kenderaan tanpa pemandu di jalan raya.

Kenderaan baharu itu tidak kelihatan seperti bas biasa serta mempunyai tingkap yang besar menjadikannya kelihatan seperti mainan berbanding bas yang teknologi tinggi.

Ketua pemanduan autonomi syarikat 42 Dot, Jeong Seong-gyun, berkata, reka bentuk itu sengaja dibuat untuk mencipta kelainan.

Syarikat permulaan berkenaan bertanggungjawab untuk teknologi pandu sendiri yang kini dimiliki oleh gergasi kereta Hyundai.

“Ini adalah masa depan. Bas ini memerlukan jenis reka bentuk baharu yang agak besar.

“Bas ini kelihatan seperti permainan Lego dan diperbuat daripada bahagian komposit untuk membantu mengurangkan kos dan menjadikannya mudah untuk direplikasi.

“Ia menggunakan kamera dan radar untuk menavigasi jalan dan bukannya alat sensor yang mahal,” jelasnya.

Matlamat syarikat itu adalah untuk menjadikan teknologi kos rendah, selamat dan mudah dipindahkan kepada pelbagai jenis kenderaan pada masa hadapan, contohnya, trak penghantaran.

Ketika ini pemandu keselamatan memantau dengan teliti dan bas berkenaan akan memandu sendiri di sekitar litar kecil sepanjang 3.4 kilometer di pusat bandar Seoul yang mengambil masa kira-kira 20 minit.

Orang ramai boleh menaiki dua perhentian yang ditetapkan selepas menempah tempat duduk percuma melalui aplikasi.

“Saya rasa seperti baru melompat ke mesin masa untuk melawat masa depan. Saya fikir ia mungkin membuatkan saya pening akibat pecutan secara tiba-tiba tetapi saya tidak merasakannya.”

Perjalanan itu terasa sangat lancar dan selamat”, kata Kim Yi hae-ran, 68, selepas menaiki bas berkenaan selama 20 minit ketika pelancarannya semalam.

Menurutnya, pengalaman itu membuatkan dia berasa bangga dengan kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh syarikat Korea Selatan itu.-AFP

The post Korea Selatan lancar bas tanpa pemandu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *