PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekali lagi diminta agar segera ‘campur tangan’ bagi menangani isu lonjakan kos umrah sejak awal tahun ini.

Perkara berkenaan ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar susulan rungutan jemaah umrah mengenai kos ibadah itu.

“Dalam urusan haji, ia memang pun dalam bidang kuasa Tabung Haji (TH) dan pihak saya, tetapi konteks umrah, Motac wajar buat rundingan terus dengan Arab Saudi,” katanya ketika ditanya berhubung isu kenaikan kos umrah dalam sidang akhbar Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022, di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 9 Januari lalu melaporkan kenaikan caj penginapan hotel di Mekah dan Madinah sehingga 110 peratus ekoran trend permintaan tinggi jemaah warga asing yang diakui Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) susulan pembukaan sempadan banyak negara pasca pandemik Covid-19.

Lonjakan kadar itu malah naik mendadak selepas tamat musim haji tahun lalu disebabkan trend permintaan melebihi penawaran untuk hotel di tanah suci yang makin bertambah.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan bahawa isu kos umrah ada dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan beliau mengakui ia ia di luar kawalan kerajaan Arab Saudi kerana kenaikan harga bilik dan segala caj di tanah suci turut melibatkan jemaah seluruh dunia.

Sehubungan itu ujar beliau, pihak Motac seharusnya mengadakan perbincangan dengan para pemilik hotel di sana supaya lebih bertimbang rasa untuk menurunkan kadar harga kerana kos penginapan lebih separuh daripada perbelanjaan umrah selain tiket penerbangan, pengangkutan bas, makan minum termasuk caj lawatan.

Pada ketika ini dianggarkan terdapat sejumlah hampir 500 agensi percutian tempatan di bawah Matta yang diberi lesen bagi pengendalian pakej ibadah umrah oleh pihak Motac.

Sebelum pintu sempadan negara ditutup awal 2020 lalu, kerajaan Arab Saudi merekodkan kira-kira 300,000 jemaah umrah dari Malaysia yang datang setiap tahun ke tanah suci.

Menyentuh isu kos haji secara muassasah pada musim kali ini, Mohd. Na’im memberi jaminan bahawa pihak TH dan beliau sendiri akan memastikan ia masih lagi dalam kawalan.

“Pengurusan TH dan saya akan berunding dengan para pengusaha hotel kerana inilah kekangan kos paling besar yang sepatutnya boleh dikawal sepanjang musim haji,” katanya. – UTUSAN

The post Kos umrah melonjak: MOTAC perlu campur tangan segera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *